(BERITA) Villa Nabila – Remaja Hilang

| November 18, 2013 | 0 Comments

Berita Villa Nabila hangat diperkatakan setelah seorang remaja lelaki dilaporkan hilang setelah masuk kedalam Villa Nabila itu. Villa Nabila tersebut yang terdiri daripada tiga buah bangunan yang sudah usang berusia 40 tahun.

berita villa nabila, villa nabila, gambar villa nabila

Villa Nabila sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik hingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk luar negara khususnya pengkaji aktiviti paranormal.

 

Berita Villa Nabila

- Sinar Harian

JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas dikatakan mengunjungi sebuah rumah lama yang terbiar di Jalan Skudai, berhadapan Pantai Lido, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Supt Abdul Samad Salleh berkata, kehilangan Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, disedari ibunya, Norhayati Mohamad, 38, semalam apabila dia tidak pulang ke rumah di Kampung Hajah Hasnah, Majidee, di sini, sejak keluar pada Sabtu.

“Norhayati kemudian menghubungi salah seorang daripada rakan Mohamad Izzat Izzudin lalu dimaklumkan bahawa remaja terbabit telah pergi ke rumah tersebut yang lebih dikenali sebagai ‘Villa Nabila’.

“Wanita terbabit kemudian pergi mencari sendiri Mohamad Izzat Izzudin di villa tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Danga Bay, di sini, pada kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas gagal menemui remaja berkenaan,” katanya kepada pemberita yang ditemui di lokasi terbabit, hari ini.

Abdul Samad berkata sepasukan polis bersama unit anjing pengesan dan pasukan bomba digerakkan ke villa itu untuk melakukan operasi mengesan remaja terbabit, bagaimanapun, belum menemuinya sehingga kini.

Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan sehubungan itu polis turut menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial Facebook dengan mendakwa sekumpulan 23 remaja hilang selepas masuk ke dalam villa berkenaan manakala tujuh lagi berjaya keluar dari bangunan itu.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan polis berhubung orang hilang dan menggesa orang ramai supaya tidak menyalurkan maklumat yang tidak tepat hingga boleh mengelirukan pelbagai pihak.

Sementara itu, orang ramai didapati mengerumuni perkarangan pintu masuk villa tersebut sejak malam tadi hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Skudai, pagi ini.

Villa tersebut yang terdiri daripada tiga buah bangunan yang sudah usang berusia 40 tahun lepas sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik hingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk luar negara khususnya pengkaji aktiviti paranormal.

Salah seorang remaja yang masuk ke villa terbabit, Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, ketika ditemui berkata beberapa rakannya diserang histeria selepas 20 minit berada di dalam bangunan itu.

“Saya masuk ke bangunan itu sekadar suka-suka bersama 30 yang lain (termasuk Mohamad Izzat Izzudin) pada pukul 12.30 tengah malam, awal hari Ahad. Apabila terjadi histeria, kami semua bergegas keluar dan mendapatkan pertolongan dari sebuah masjid berhampiran.

“Saya tidak menyangka ada di kalangan kami yang hilang selepas semuanya bersurai kerana saya sendiri pun tidak berapa mengenali ramai yang lain,” katanya.

Remaja Hilang di Villa Nabila Ditemui

- Astro Awani

KUALA LUMPUR: Remaja berusia 16 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas memasuki sebuah banglo berhantu bernama Villa Nabila di Johor Baharu, telah berjaya ditemui.

Perkara ini disahkan oleh pihak polis melalui laman Twitter dan Facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Pihak polis mengesahkan bahawa Mohamad Izzat Izzudin Hussin ditemui di Flat Desa Mutiara 4, di Johor Baharu, awal pagi ini.

The Star Online melaporkan bahawa Mohamad Izzat ditemui di rumah temannya dan terlupa memberitahu ibunya Norhayati Mohamad, 39, tentang perkara itu.

Norhayati pula berkata beliau benar-benar percaya bahawa Mohamad Izzat telah dilarikan oleh ‘makhluk halus’.

“Dia tidak pernah hilang seperti ini sebelum ini, sekarang saya hanya berasa lega, ” kata Norhayati kepada The Star Online.

Sebelum ini dilaporkan bahawa seorang remaja lelaki telah hilang selepas dia dilihat memasuki bangunan terbiar itu pada Sabtu lalu.

Artikel terbaru dalam kategori yang sama:

Tags: , ,

Category: Berita

Leave a Reply